Ucapan oleh YB Phee Boon Poh, EXCO Alam Sekitar dan Kebajikan merangkap Naib Pengerusi Penang Green Council pada 29 Oktober 2022 di Jeti Nelayan Changkat, Nibong Tebal
Pada masa kini, Negeri Pulau Pinang mempunyai Hutan Simpanan kekal seluas lebih kurang 5,386.77 hektar yang diwartakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (akta 313). Manakala seluas 1,182 hektar lagi adalah Taman Negara Pulau Pinang yang diwartakan di bawah Akta Taman Negara 1980 (akta 226). Secara keseluruhannya seluas 6,568.77 hektar kawasan berhutan di negeri ini diwartakan di bawah dua perundangan berbeza ini sebagai tujuan pemeliharaan khazanah hutan dan biodiversiti Negeri Pulau Pinang.
Pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar merupakan satu aspek yang menjadi keutamaan pihak Kerajaan Negeri yang dapat dilihat menerusi Pelan Strategik Guna Tanah di dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 bagi memelihara keseimbangan pembangunan serta kepentingan jangka panjang penggunaan tanah Negeri termasuklah kawasan berhutan. Selain dari itu, manifesto Kerajaan Negeri yang turut diterjemahkan menerusi visi Penang 2030 untuk menambahkan keluasan hutan simpanan kekal di negeri ini atas prinsip menjamin penyerapan karbon di Negeri Pulau Pinang sebagai mitigasi isu perubahan iklim (climate change).
Banyak usaha dan langkah diambil untuk memastikan alam sekitar terus terjaga dan pada masa yang sama kemajuan negari tidak dipinggirkan. Salah satunya ialah Kerajaan Negeri telah mewartakan seluas 285.84 hektar di sebahagian Pulau Jerejak sebagai Hutan Simpanan Kekal pada 26 Mac 2020 yang lalu. Pewartaan Hutan Simpanan Kekal ini merupakan pewartaan yang julung kali dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak Akta Perhutanan Negara, 1984 digunapakai di Negeri ini pada tahun 1985 iaitu sejak hampir 40 tahun dahulu. Pewartaan ini juga sekali gus telah meningkatkan keluasan Hutan Simpanan Kekal sebanyak 5.5% iaitu daripada 5,100.93 hektar pada Disember 2019 kepada 5,386.77 hektar pada masa kini.
Bagi meneruskan komitmen ke atas pewartaan Hutan Simpanan Kekal di negeri ini, Jawatankuasa MMK Alam Sekitar Pulau Pinang juga telah menyusun strategi untuk mewartakan semua kawasan hutan paya laut yang berada di dalam tanah kerajaan dan tanah milik agensi negeri sebagai Hutan Simpanan Kekal. Hutan Paya Laut merupakan kawasan sensitif alam sekitar yang perlu dipelihara kerana selain fungsinya sebagai benteng hakisan ombak dan nursery kepada hidupan marin, ianya juga mempunyai keupayaan tinggi sebagai penyimpan karbon (carbon sequestration) yang lebih tinggi berbanding jenis hutan tanah pamah lain.
Dalam hal ini, Kerajaan Negeri menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang telah telah bersidang pada 5 Oktober 2022 telah meluluskan seluas 676.48 hektar hutan paya laut untuk diwartakan sebagai hutan simpanan kekal. Jumlah ini adalah hanya sebahagian daripada 38 lokasi kawasan hutan Paya Laut di dalam Tanah Kerajaan dan Tanah Milik Agensi seluas 1,619.22 (keluasan digital) hektar yang telah dikenalpasti sesuai diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal. Langkah seterusnya ialah, Jawatankuasa MMK Alam Sekitar akan meneruskan kerja-kerja perincian bagi kawasan hutan paya laut selebihnhya untuk diwartakan secara berperingkat.
Untuk Makluman Yang Berhormat, Yang Berbahagia Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan Para Hadirin Sekalian,
Menyedari usaha-usaha murni yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah memilih Negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan projek perintis Malaysia Forest Conservation Certification Protocol (MFCC) yang dibangunkan oleh pihak KeTSA seiring dengan keperluan REDD Plus di bawah the United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC). MFCC ini dibentuk untuk mengiktiraf mana-mana kerajaan negeri atau badan lain yang melaksanakan amalan terbaik, best practice yang menyumbang ke arah memelihara kawasan berhutan sebagai penyimpanan karbon. Pelaksanaan projek ini bakal memberi impak positif bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa khusunya dalam melaksana usaha mitigasi perubahan iklim.
Yang Berhormat, Yang Berbahagia Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan Para Hadirin Sekalian,
Penanaman pokok bakau telah giat dijalankan di Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2005 sehingga kini. Penanaman pokok bakau yang berterusan ini bukan sahaja berupaya menambahkan daya tahan kawasan hutan paya laut atau bakau sebagai benteng terhadap hakisan semula jadi seperti ombak malah mampu menahan kesan-kesan pembangunan pada masa akan datang.
Berdasarkan rekod Jabatan sejak tahun 2005 sehingga September 2022, sebanyak 255,511 spesies pokok bakau dan spesies persisiran pantai melibatkan kawasan seluas 96.5 hektar telah ditanam di seluruh pesisir pantai negeri sejak tahun 2005.
Selain itu juga, aktiviti-ativiti penanaman pokok bakau juga dilaksanakan menerusi kempen-kempen penanaman bersama orang ramai dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha meningkatkan kesedaran orang awam. Sebagai contoh Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang telah mengadakan Kerjasama strategik bersama pihak Persatuan Kebajikan Nelayan-nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA) dalam usaha penanaman pokok bakau ini terutamanya di kawasan Sg. Acheh, Sungai Chenaam dan Sg Udang di Daerah Seberang Perai Selatan. Kawasan tersebut menjadi contoh terbaik di mana usaha restorasi habitat bakau telah giat dijalankan sejak tahun 2005 bersama pihak PIFWA.
Berdasarkan daripada usaha yang telah dilaksanakan ini, seluas 676.48 hektar hutan paya laut yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada 5 Oktober 2022 yang lalu untuk diwartakan sebagai hutan simpanan kekal, adalah merangkumi kawasan-kawasan hutan paya laut dan bakau yang telah dijalanan aktiviti restorasi. Kawasan yang dimaksudkan ialah kawasan hutan paya laut di Sg Chenaam seluas 248.7 hektar dan Sg. Udang seluas 55.4 hektar. Ini bermakna seluas 304.1 hektar hutan paya laut di Daerah Seberang Perai Selatan telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal pada tahun 2022 ini dan hanya menunggu proses siar warta pada bila-bila masa sahaja. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri mengiktiraf usaha murni restorasi ekosistem bakau yang telah dilaksanakan bersama pihak NGO dan komuniti setempat sejak 2005. Jumlah ini sudah tentu akan menambahkan kawasan hijau di Daerah Seberang Perai Selatan selain satu-satunya hutan simpan paya laut iaitu Hutan Simpan Byram seluas 214.66 hektar iaitu kawasan yang yang sedang kita berada sekarang ini.
Yang Berhormat, Yang Berbahagia Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan Para Hadirin Sekalian,
Saya difahamankan sebanyak 1,000 pokok bakau akan ditanam sebentar lagi. Berdasarkan rekod Jabatan Perhutanan Negeri, sebanyak 36,654 pokok daripada pelbagai spesies bakau telah di tanam di Hutan Simpan Byram ini sejak tahun 2005. Jumlah tambahan penamaman 1,000 pokok bakau yang akan dilaksanakan sebentar lagi dengan seramai 100 orang peserta sudah tentunya akan dapat menambah kemampuan hutan paya laut di sini sebagai penyerap dan penyimpan karbon terpenting di kawasan hutan simpan ini.
Saya yakin, kesemua pencapaian penanaman pokok ini adalah lah hasil tenaga kerjasama, bantuan dan sokongan semua pihak. Sehubungan dengan itu, secara peribadinya saya menganggap gabungan yang terjalin pada hari ini amat penting terutamanya untuk meneruskan semangat kerjasama semua pihak sekaligus menyedari bahawa tanggungjawab kelastarian hijau di negeri ini merupakan tanggungjawab bersama.
Yang Berhormat, Yang Berbahagia Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan Para Hadirin Sekalian,
Oleh itu, saya sangat mengalu-alukan program kerjasama seumpama ini yang diilhamkan oleh warga Penang Green Council dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada semua warga yang terlibat kerana mengambil langkah untuk menjalankan kerjasama ini. Usaha murni seumpama ini seharusnya layak dicontohi oleh organisasi lain agar usaha memelihara dan memulihara alam sekitar dapat dijalankan sepanjang masa. Sesungguhnya pihak Kerajaan Negeri tidak mampu mencapai apa yang dicapai pada hari ni jika tidak ada bantuan, kerjasama dan sokongan daripada jabatan, agensi, pihak NGO, masayarakat setempat mahupun pihak persendirian lain. Saya berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.
Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak PGC, Jabatan Perhutanan Negeri semua dan semua yang terlibat di atas penganjuran program ini. Tahniah saya ucapkan di atas segala persiapan yang telah diadakan bagi memastikan program ini berlangsung dengan jayanya.
Terima kasih juga diucapkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat lain di atas sokongan penuh yang diberikan serta kepada juga semua pihak yang hadir bagi menjayakan program pada hari ini. Saya yakin, kehadiran Yang Berhormat sendiri dan anda semua pada hari ini menunjukkan keprihatinan kita untuk sama-sama melindungi, memelihara dan memulihara alam sekitar yang merupakan khazanah berharga yang wajar dikongsi bersama.
Percaya lah, kehijauan yang kita nikmati sekarang ini adalah usaha rakan-rakan kita terdahulu, dan walaupun usaha yang kita laksanakan pada hari ini, hasilnya tidak dapat dilihat dalam jangka masa pendek, namun yang pasti ianya akan dapat dinikmati oleh generasi kita akan datang.
We live in a time when a simple act of planting a tree could save lives. Be a hero, plant trees, if not you then who, if not now then when.
Sekian, Terima Kasih.
Leave a Reply