Majlis Perasmian Program Trash-Free Penang: Pengasingan Sisa di Punca & Program 3R di Taman Lucky, Butterworth

Ucapan oleh YB Phee Boon Poh di Taman Lucky, Butterworth pada 17 Julai 2022.

Selamat pagi kepada semua hadirin.

Sebagai sebuah negeri yang inklusif, kebajikan rakyat dijadikan keutamaan dan hal pengurusan sisa juga tidak terkecuali. Selain daripada pelaksanaan dasar yang dibuat untuk rakyat, penglibatan komuniti sejagat dengan menyediakan keperluan peralatan, pengetahuan, sokongan dan bimbingan mencukupi juga adalah penting untuk menjayakan usaha ini. Inilah sebab utama kita semua berkumpul pada hari ini.

Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik pada Julai 2009. Pelbagai usaha dan kempen telah dilaksanakan untuk memberi pendidikan dan kesedaran kepada orang awam untuk menggelakkan beg plastik ini digunakan secara berleluasa atau diuruskan dengan cara yang tidak betul. Pada bulan Januari 2021, kerajaan negeri telah menaikkan kadar caj sumbangan kutipan beg plastik daripada RM0.20 ke RM1.00 untuk setiap helaian beg plastik diikuti dengan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik Pada Hari Isnin – Rabu.

Sudah tentu, perjalanan kita tidak terhenti di sini saja. Saya berasa bangga kerana pada hari ini kita dapat merasmikan program Trash-Free Penang di bawah kelolaan Penang Green Council. Ini merupakan salah satu usaha PGC dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menggalakkan masyarakat setempat mengasingkan sisa mereka dengan cara yang betul selaras dengan Dasar Pengasingan Sisa di Punca. Di samping itu, ia juga dapat membantu mewujudkan masyarakat yang prihatin terhadap alam sekitar di kawasan kejiranan mereka. Program ini juga selaras dengan pelaksanaan Fasa 2 Penang2030 — Mempercepat Pencapaian Penang2030 (Accelerating Penang2030).

Hadirin sekalian,

Pada Mac 2022 yang lalu, satu stesen kitar semula telah diwujudkan di MPKK Thamby Kecik di bawah KADUN Sungai Puyu. Hari ini, stesen kitar semula kedua di bawah program Trash-Free Penang akan diwujudkan di Taman Lucky.

Saya berharap kita semua akan dapat bersama membentuk semangat #kitajagakita yang berkaitan dengan alam sekitar. Kita lakukan semua ini bukan untuk diri sendiri tetapi untuk anak-anak kita kerana perkara terakhir yang kita perlu elakkan adalah meninggalkan dunia yang tidak dapat diperbaiki kepada generasi akan datang.

Terima kasih dan selamat berhujung minggu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.