Youth Camp 2018
 

Didik Cintai Alam Sekitar Ketika Usia Muda

Keterujaan 38 orang remaja berusia 15 hingga 18 tahun jelas kelihatan apabila mereka diberi peluang untuk melawat satu-satunya tapak pelupusan sampah di Pulau Pinang iaitu di Pulau Burung, Nibong Tebal.

Kem Remaja 4.0 telah berjaya diadakan pada 18 dan 19 Ogos 2018 bertempat di Institut Latihan Kecemerlangan MARA, Sungai Jawi. Mengupas mengenai penganjuran program Kem Remaja ini, Pegawai Program dan Projek PGC, Puan Najihah berkata, ia merupakan usahasama antara pihak Penang Green Council, Majlis Perbandaran Seberang Perai dan Jabatan Alam Sekitar. Para peserta telah didedahkan dengan kaedah pengurusan sisa di Pulau Pinang selaras dengan tema kem ini iaitu Pengurusan Sisa: Bukan di Halaman Saya.

Nur Izwanni yang merupakan salah seorang fasilitator kem ini berkata bahawa kem dua hari satu malam ini sangat bermanfaat kepada para peserta kerana selain dapat menimba ilmu, mereka juga dapat mencungkil bakat yang terpendam selama ini.

"Saya begitu teruja apabila diberi peluang untuk menjadi fasilitator bagi Kem Remaja ini. Antara aktiviti yang menarik perhatian saya adalah modul lakonan yang memerlukan para peserta melakonkan watak seperti orang kampung, pemaju, Jabatan Alam Sekitar, dan lain-lain untuk membincangkan masalah alam sekitar. Saya dapat melihat para peserta begitu bersemangat berhujah apabila diberi peluang untuk menjadi wakil organisasi tersebut," ujar Izwanni.

Kem Remaja ini merangkumi 5 modul utama dan satu aktiviti luar yang menerapkan kepentingan pengurusan sisa dan impaknya dalam kehidupan seharian.

Antara modul yang terdapat dalam kem ini adalah seperti lawatan ke tapak pelupusan sampah, analisis kualiti air, aktiviti lakonan, eksplorasi, dan eksperimen untuk membina model tapak pelupusan sampah. Kesemua modul yang diterapkan dalam kem ini, secara tidak langsung dapat memupuk sifat cintakan alam sekitar, meningkatkan kemahiran berkomunikasi, dan kemahiran bekerjasama dalam satu kumpulan di kalangan generasi muda.

Penang Green Council (PGC) merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NPO) yang ditubuhkan untuk memupuk dan memberi kesedaran dan pendidikan alam sekitar di Pulau Pinang. PGC telah menganjurkan beberapa siri program jaringan komuniti seperti Kem Hijau, Kem Hijau Cilik, Pendidikan Rumah ke Rumah, Kem Remaja, dan bengkel-bengkel bertemakan unsur alam sekitar sebagai usaha untuk mendekati masyarakat. Bagi mereka yang berminat untuk menjadi pihak penganjur bersama, sila hubungi kami di 04-2503322 / 3321 atau e-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. .

 






Archive

Title