KEM REMAJA
 

Kem “Nafas Paya Bakau” Membuka Minda Remaja

Sebagai salah satu usaha untuk melahirkan pemimpin yang cintai alam sekitar, Penang Green Council sekali lagi telah menganjurkan Kem Remaja pada 23-25 Mac 2019 yang lalu. Kira-kira 59 remaja telah memanfaatkan mu­sim cuti persekolahan mereka dengan menyertai Kem Remaja ini. Program tiga hari dua malam ini telah diadakan di Kompleks Rakan Muda Kemunting, Perak bertemakan “Nafas Paya Bakau”, yang melibatkan remaja yang berusia 15-18 tahun.

Puan Najihah selaku pengarah projek memberitahu bahawa kem ini turut mendapat tajaan dari syarikat pengeluran produk kecantikan semulajadi, Kiehl’s. Antara objektif Kem Remaja kali ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para peserta mengenai keindahan dan keistimewaan ekosistem hutan paya laut. Kem ini bukan sahaja membentuk sifat tanggungjawab dalam memelihara dan memulihara alam sekitar, ianya turut menggalakkan para pelajar berfikiran kritis dan mempelajari hubungan antara manusia dan alam sekitar.

Batrisyia Umairah yang merupakan salah seorang peserta kem memberitahu bahawa kem ini sangat menarik kerana ianya dapat memberi kesedaran kepada para remaja sepertinya.

“Sebelum ini, saya tidak pernah tahu tentang kepentingan pokok paya laut. Selepas menyertai kem ini, saya dan rakan-rakan lebih mengenali jenis –jenis pokok paya laut di samping memberi kesedaran untuk saya menjaga kebersihan dan keindahan alam sekitar,” ujarnya yang juga merupakan pelajar dari SMK Machang Bubuk.

Seorang lagi peserta kem, Yageshni Naidu dari SMK Convent Bukit Mertajam memberitahu bahawa beliau berasa gembira dapat menghabiskan cuti persekolahan dengan menyertai kem ini kerana dapat menambah ilmu pengetahuan selain berkenalan dengan ramai kenalan baru.

Kem Remaja ini merangkumi 6 modul utama dan 5 aktiviti luar yang menerapkan kepentingan biodiversiti dan pokok paya laut.

Antara modul yang terdapat dalam kem ini adalah seperti penerangan mengenai biodiversiti dan hutan paya laut, lawatan ke kilang arang, eksplorasi di Taman Tasik Taiping, aktiviti melihat kelip-kelip, penjelajahan warisan Kuala Sepetang, dan aktiviti mewarna menggunakan pewarna dari kulit pokok bakau. Selain itu, para peserta turut berpeluang melawat ke Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang dan dibawa menaiki bot untuk mengamati pokok paya laut yang terdapat di sepanjang sungai.

Penang Green Council (PGC) merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NPO) yang ditubuhkan untuk memupuk dan memberi kesedaran dan pendidikan alam sekitar di Pulau Pinang. PGC telah menganjurkan beberapa siri program jaringan komuniti seperti Kem Hijau, Kem Hijau Cilik, Pendidikan Rumah ke Rumah, Kem Remaja, dan bengkel-bengkel bertemakan unsur alam sekitar sebagai usaha untuk mendekati masyarakat. Bagi mereka yang berminat untuk menjadi pihak penganjur bersama, sila hubungi kami di 04-2503322 / 3321 atau e-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. .


Archive

Title