Pelancaran Projek STEP by Step
 

Ucapan Pelancaran oleh EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir merangkap Naib Pengerusi Penang Green Council (PGC), Chow Kon Yeow pada 21 Mei 2017 semasa Majlis Pelancaran Projek STEP by Step (Sustainability and Environmental Protection) di Hotel Neo+ Pulau Pinang.

Selamat petang. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi kesempatan ini untuk melancarkan Projek STEP by Step (Sustainability and Environmental Protection). Saya gembira melihat jabatan-jabatan dan agensi-agensi yang memberi sokongan kepada projek pilot ini untuk komuniti di Sungai Pinang.

Projek STEP by Step adalah projek berteraskan pertandingan yang dianjurkan oleh Penang Green Council (PGC). Projek ini diilhamkan daripada Pertandingan Halaman Rumah Tercantik Pulau Aman yang telah diadakan pada tahun 2016, serta Projek Zon Hijau Bersih Mini (MiniZeeBee) oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Projek ini bermula dari 1 April sehingga 31 Oktober 2017. Ia bertujuan untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada penduduk tempatan, terutamanya mereka yang tinggal berdekatan dengan Sungai Pinang tentang isu pencemaran sungai yang berlaku di Pulau Pinang sejak akhir-akhir ini. kebelakangan ini. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang terlibat berpeluang untuk memenangi hadiah tunai berjumlah RM16,000. Malah, dana permulaan sebanyak RM1,500 daripada Kerajaan Pulau Pinang akan diberikan kepada JKKK yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Kami berharap bantuan kewangan ini dapat membantu JKKK untuk memulai projek mencantik dan membersihkan kawasan perumahan mereka.

Pencemaran sungai adalah salah satu isu alam sekitar utama di Pulau Pinang. Jikalau keadaan bertambah buruk dan ia akan menyebabkan banjir kilat. Seterusnya, kualiti air sungai yang teruk turut memberi kesan kepada kehidupan masyarakat tempatan yang tinggal di sepanjang kawasan sungai tersebut. Tabiat buruk seperti pembuangan sampah secara haram dan merata-rata adalah salah satu faktor yang mengakibatkan pencemaran di Sungai Pinang. Orang ramai perlu mengubah sikap mereka dengan mengambil berat terhadap ruang hidup mereka. Pulau Pinang mempunyai 128 batang sungai. Tetapi kita tidak menerima peruntukan yang mencukupi daripada Kerajaan Persekutuan untuk rawatan sungai. Walaupun begitu, kita merawat dan menjaga sungai dengan cara sendiri. Tiga tahun yang lalu, kita memulai pengurusan mikro sungai melalui "satu daerah, satu sungai". Hari ini, kita telah menerima keputusan positif, Sungai Ara merupakan sungai yang paling bersih di Pulau Pinang sekarang. Sebuah taman linear telah dibina di sana, penduduk tempatan juga sangat proaktif dan menganjurkan gotong-royong setiap minggu untuk memastikan kebersihan kawasan persekitaran. Inilah semangat yang kita perlukan untuk memastikan Pulau Pinang lebih bersih dan hijau.

Kedua-dua pihak iaitu rakyat dan kerajaan negeri bertanggungjawab dalam menjadikan Pulau Pinang lebih bersih dan hijau. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menetapkan 1 Jun 2016 untuk pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca di seluruh negeri. 10 hari lagi sehingga penguatkuasaan dasar ini bermula pada 1 Jun 2017. Pengasingan sisa di punca boleh dilakukan dengan mudah. Orang awam hanya perlu meluangkan satu minit sehari untuk mengasingkan sampah mereka di rumah, tempat kerja atau sekolah kepada sekurang-kurangnya dua aliran, iaitu sisa kitar semula dan sisa baki. Asingkan sisa "bersih dan kering" (kertas, plastik, tin aluminium) daripada sisa "basah/ kotor' (tisu yang telah digunakan, sisa makanan) untuk memastikan kualiti proses kitar semula. Penggunaan sumber asli dan kos pengurusan sisa pepejal dapat dikurangkan dengan mengasingkan sampah. Yang paling penting, kita mampu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan Pulau Burung supaya memanjangkan jangka hayat satu-satunya tapak pelupusan di Pulau Pinang.

Projek STEP by Step ini bukan sahaja merupakan satu pertandingan, malah ia berfungsi sebagai platform untuk mendidik dan memperkasa masyarakat tempatan mengenai kepentingan sungai dan menjaga persekitaran kehidupan mereka. Ketiga-tiga sesi latihan ini bertujuan untuk melengkapkan penduduk tempatan dengan kemahiran amali dan pengetahuan tentang alam sekitar. Sebagai contoh, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Pertanian telah dijemput pada sesi latihan hari ini untuk berkongsi tentang kepentingan kualiti air sungai yang baik dan pertanian bandar. Dana permulaan juga direka bentuk untuk membantu JKKK langkah demi langkah dalam meningkatkan persekitaran mereka. Secara beransur-ansur, ia akan membawa kesan besar terhadap ruang kehidupan mereka dan Sungai Pinang. Saya berharap para peserta menikmati proses sepanjang pertandingan ini dan boleh menjadi perintis dalam projek komuniti pemuliharaan alam sekitar di Pulau Pinang.Jika projek pilot ini berjaya, kita akan memperkenalkan projek ini kepada komuniti tepi sungai yang lain.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Puan Asmah Binti Mohd Zin, Ketua Jabatan Pembangunan Masyarakat dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk berkongsikan tentang Projek MiniZeeBee di Shah Alam dengan kita. Kita menantikan kewujudan cara unik daripada setiap kawasan kejiranan dalam menjaga kebersihan dan keindahan kawasan kediaman mereka.

Akhir sekali, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Urusetia Projek, Penang Green Council dan ahli-ahli jawatankuasa atas usaha untuk menjayakan projek ini. Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan diberi sokongan sepenuh oleh ADUN Sungai Pinang, ADUN Komtar dan ADUN Dato' Keramat. "Pulau Pinang sentiasa memimpin", kita boleh menjadikan Pulau Pinang rumah yang bersih dan mampan bersama-sama.

Dengan itu, Projek STEP by Step dilancarkan secara rasmi!

Terima kasih.

Chow Kon Yeow