Signs of an ailing earth - Climate Changes By Carolyn Khor (BM)
 

 

 

Dewasa ini, perubahan iklim yang berlaku sejak beberapa dekad yang lalu sering diperkatakan, namun tidak banyak yang dilakukan untuk menangani masalah yang semakin meningkat ini. Yang lebih malang, para pencinta alam sekitar terpaksa menentang golongan gergasi korporat yang mendiamkan para pembuat polisi melalui sumbangan besar mereka dengan keuntungan yang dikaut daripada alam semula jadi.

Perubahan iklim merupakan satu istilah yang digunakan untuk menerangkan perubahan corak cuaca dalam sesuatu tempoh masa dan lazimnya berkait dengan perubahan alam sekitar seperti pemanasan global dan kesan rumah hijau, banjir besar dan juga ribut – contoh mutakhir adalah ribut taufan Sandy.

Jeffrey Sachs, seorang ahli ekonomi terkenal di dalam ucapannya sewaktu melawat Pulau Pinang baru-baru ini telah menyatakan bahawa istilah ‘perubahan iklim’ tidak sesekalipun disebut oleh Presiden Amerika Syarikat yang dipilih semula semasa kempen pilihan rayanya di serata negara. Ini menunjukkan betapa sukarnya untuk mengambil pendekatan yang lebih agresif untuk menyelamatkan alam sekitar. Walaubagaimanapun, sebuah agensi yang dikenali sebagai EPA (The United States Environmental Protection Agency) bertindak mengumpul data dan menjejaki pencemaran gas rumah hijau bagi membantu Kerajaan Amerika Syarikat dalam menangani cabaran perubahan iklim.

Di Malaysia, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli bekerjasama dengan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) untuk menjalankan tugas mengkaji perubahan iklim dengan mematuhi Rangka Kerja Konvensyen Bangsa- Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNCCC). UNCCC yang ke-18 telah diadakan di Doha, Qatar pada tahun ini dari 26 November hingga 8 December, dan dihadiri oleh peserta daripada 195 negara.

Hasil daripada konvensyen tersebut, negara-negara maju telah mengangkat ikrar bersejarah untuk membiayai negara-negara membangun dalam “memperbaiki kerosakan serta kerugian yang ditanggung”. The Guardian melaporkan bahawa frasa “kerugian dan kerosakan akibat perubahan iklim” merupakan pengakuan dan jaminan yang diterima buat julung kali oleh negara-negara membangun dan ianya termaktub di dalam dokumen undang-undang antarabangsa.

Menurut laporan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) pada tahun 2006, terdapat kemungkinan berlakunya kenaikan suhu di Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2014 sehingga tahun 2050. Selain itu, implikasi kenaikan suhu didapati mempunyai kaitan dengan paras air dan akan turut menjejaskan hasil tanaman serta keselamatan makanan negara. Sebagai sebuah negara yang berasaskan pertanian, hal ini akan mengakibatkan kerugian ekonomi dan seterusnya membawa kepada masalah infrastruktur yang akan memerlukan kerja pembaikan dan pembinaan semula.

Ir. Jaseni, CEO Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), dipetik berkata bahawa pengumpulan air hujan sepuluh tahun lalu adalah sejumlah 2000mm tetapi angka ini telah menurun kepada 1400mm pada tahun 2012. Penurunan besar jumlah air hujan ini merupakan satu lagi bukti berlakunya fenomena pemanasan global. Selain itu, laporan yang dikemukakan oleh Kerajaan Malaysia kepada UNCCC pada tahun 2007 menyatakan bahawa Paras Air Laut adalah 1.3mm/tahun (1986-2006, Tanjung Piai, Johor), namun menjelang tahun 2050, kes senario yang paling teruk menjangkakan peningkatan sebanyak 0.5m atau 10mm/tahun.

Pengumpulan air hujan yang dicatatkan di Bukit Bendera di tolok no.6 dan tolok no.8 mencatatkan titisan air hujan yang ketara antara 65%-70% pada tahun 2002 hingga tahun 2012. Pada tahun 2002, 1917mm/tahun dan 1988mm/tahun telah dicatatkan, manakala laporan terbaru pada tahun 2012 hanya mencatatkan 1715mm/tahun dan 673mm/tahun.

 

Terdapat beberapa agensi tempatan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bergiat secara aktif dengan kerajan untuk memangkinkan perubahan dasar serta mendidik orang awam mengenai alam sekitar. Antaranya adalah seperti Aliran, Water Watch Penang (WWP), Malaysian Nature Society dan Sahabat Alam Malaysia.

Prof. Dr. Chan Ngai Weng, Presiden WWP berpendapat kaum wanita merupakan pengurus utama bekalan air sama ada di rumah atau di pejabat kerana kaum wanita mempunyai pengaruh yang besar ke atas cara penggunaan air oleh keluarga dan perniagaan dalam aspek pemuliharaan air.

Walaupun sehingga kini masih tiada bukti sahih yang mengaitkan penggunaan bahan api fosil dengan perubahan iklim, adalah sukar untuk mengabaikan corak-corak kemudaratan. Sekiranya penggunaan bahan bakar meningkat, jumlah karbon dioksida di atmosfera juga turut meningkat dan seterusnya secara semula jadi akan menyebabkan fenomena pemanasan global. Perubahan suhu dan tekanan udara pula akan mencetuskan bencana alam seperti ribut taufan, gempa bumi, dan tsunami. Kerajaan Malaysia mencadangkan penyelesaian penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui, penggunaan biofuel, program penghutanan semula serta menjalankan kajian untuk mengkaji pelepasan gas karbon.

Pada peringkat ini, dasar-dasar yang sedia ada harus dilaksanakan dengan lebih efektif di semua peringkat – bermula dengan agensi kerajaan, perniagaan swasta hinggalah kepada isi rumah individu. Perkara utama untuk mengatasi kesan jangka panjang dalam perubahan iklim serta iklim masa depan yang tidak menentu adalah melalui pembangunan mampan yang menekankan aspek pemuliharaan dan penyelesaian yang berguna. Justeru, setiap satu daripada kita wajib menjalankan peranan masing-masing agar langkah-langkah proaktif boleh diambil untuk mengurangkan fenomena pemanasan global.