Persepsi Terhadap Tingkah Laku Penduduk Pulau Pinang Terhadap Aktiviti Kitar Semula dan Pengasingan Sisa Pepejal
 

Kenyataan Media oleh Chow Kon Yeow, Exco Kerajaan tempatan dan Pengurusan Lalulintas merangkap Naib Pengerusi Penang Green Council pada 11 November 2015: 

Persepsi Terhadap Tingkah Laku Penduduk Pulau Pinang Terhadap Aktiviti Kitar Semula dan Pengasingan Sisa Pepejal

 

Penang Green Council (PGC Strategies Sdn. Bhd.) telah melaksanakan kajian persepsi terhadap tingkah laku penduduk Pulau Pinang terhadap aktiviti kitar semula dan pengasingan sisa pepejal pada 29 Julai 2015 sehingga 29 September 2015. Kajian ini menggunakan pendekatan borang soal selidik yang diedarkan di pusat membeli belah, pasar basah, sekolah hijau serta melalui dalam talian.

Sejumlah 1, 484 responden telah berjaya memberikan maklum balas. Hasil analisis mendapati responden memahami konsep 3R dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Ramai responden mengasingkan barangan kitar semula seperti kertas (80.20%) dan surat khabar (76.9%), namun, peratus untuk sisa elektronik ialah lebih rendah pada 35%.

Sejumlah 80.7% daripada responden mengamalkan amalan kitar semula dengan membawa beg sendiri untuk membeli belah. Hal ini jelas membuktikan kejayaan terhadap inisiatif kerajaan negeri Pulau Pinang yang telah melancarkan kempen “ Setiap Hari Tanpa Beg Plastik Percuma” sejak 6 Julai 2009.

Selain itu, kajian ini juga mendapati hanya 25.1% responden mengamalkan pengkomposan sisa makanan di rumah. Dua sebab yang dikenalpasti adalah ketiadaan ruang yang mencukupi (56.5%) dan kekurangan pengetahuan untuk melakukan pengkomposan (49.4%).

Majoriti responden (86.5%) menyokong penguatkuasaan undang-undang untuk menggalakkan dan membantu meningkatkan kadar kitar semula di Pulau Pinang. Majoriti responden percaya amalan dan kitar semula dapat ditingkatkan sekiranya undang-undang dikuatkuasakan. Kami percaya bahawa orang ramai menyokong hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang akan melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca menjelang Jun 2016.

Di Pulau Pinang, sebanyak 656,090 tan sisa telah dijana pada tahun 2014 dan secara purata 1,700-1,800 tan sisa telah dihantar ke tapak pelupusan sampah Pulau Burung setiap hari. Kos pengumpulan, penghantaran dan rawatan sisa adalah di antara RM100 dan RM120. Anggaran jangka hayat tapak pelupusan adalah 42 tahun sekiranya ia dilengkapi dengan Kemudahan Pemulihan Bahan (Material Recovery Facilities) dan ia boleh bertahan selama 60 tahun jika ia turut dilengkapi dengan mesin penukaran sisa makanan.

Responden juga diminta untuk mencadangkan sistem pengurusan sisa pepejal yang lain sekiranya tapak pelupusan sampah sarap di Pulau Burung sampai jangka hayatnya, 70.4% responden bercadang bahawa kita harus memperkukuhkan dasar-dasar pengasingan sampah di punca dan amalan 3R sebagai system pengurusan sampah alternatif, 66.3% teknologi seperti Sisa – Kepada - Tenaga di Tapak Pelupusan Pulau Burung. Hanya 35.7% responden bercadang untuk mengenalpasti tapak pelupusan sanitari yang baru di Pulau Pinang.

Kajian ini akan diambilkira semasa kita membuat keputusan dengan dasar-dasar mandatori pengasingan sampah di punca. Secara keseluruhannya, aktiviti pengasingan sisa pepejal dan kitar semula ini dapat diperkukuhkan lagi sekiranya terdapat kerjasama yang erat di antara semua pihak terutamanya pihak kerajaan, swasta, institusi pendidikan, NGO dan komuniti.

Chow Kon Yeow

Laporan lengkap