Kajian “Tiada Beg Plastik Percuma” Menunjukkan bahawa Kita Perlu Meningkatkan Penguatkuasaan untuk Menjadikan Kesedaran Sebagai Satu Amalan
 

 Kenyataan Akbar oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Pulau Pinang, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap Naib Pengerusi Penang Green Council, Phee Boon Poh pada 23 Julai 2018:

Kajian “Tiada Beg Plastik Percuma” Menunjukkan bahawa Kita Perlu Meningkatkan Penguatkuasaan untuk Menjadikan Kesedaran Sebagai Satu Amalan

Survey Report Green Data

Satu kajian baru-baru ini mendapati kesedaran orang ramai terhadap alam sekitar di Pulau Pinang berada dalam tahap yang agak tinggi, dengan 79% responden mempunyai tahap keprihatinan yang tinggi terhadap isu-isu alam sekitar di Pulau Pinang. Namun, tahap kebimbangan mereka tidak merangsangkan perubahan tingkah laku (perubahan tingkah laku merujuk kepada pembawaan beg sendiri dan bukannya pembayaran untuk beg plastik dalam kajian ini). Kajian juga menunjukkan bahawa 67% responden menyedari kepentingan pengurangan dalam penggunaan beg plastic dapat mengurangkan sampah di Pulau Pinang.

Penang Green Council (PGC) telah menjalankan kajian Persepsi Awam Mengenai Penggunaan Beg Plastik Di Pulau Pinang pada 13 November sehingga 22 Disember 2017. Kajian ini bertujuan untuk memberikan pemahaman yang lebih baik kepada penggubal dasar tentang pendapat orang ramai dan membantu dalam menetapkan piawaian pembangunan polisi negeri pada masa depan. Kajian berbentuk soal selidik ini dijalankan secara dalam talian dan luar talian dan melibatkan sebanyak 2,582 pengguna di pusat membeli-belah, pasar basah dan jerayawara (roadshow) di Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Penduduk Pulau Pinang menyedari mengenai polisi negeri “Tiada Beg Plastik Percuma Setiap Hari” secara beransur-ansur sejak kempen ini dilancarkan oleh kerajaan negeri pada tahun 2009; meskipun demikian, menurut kajian, hanya 27% responden yang menyedari tentang  kutipan caj 20 sen yang dikenakan bagi setiap beg plastik disalurkan untuk pelaksanaan program AES (Agenda Ekonomi Saksama) negeri dalam usaha membasmi kemiskinan di Pulau Pinang.

Statistik menunjukkan bahawa kesedaran tidak selalunya mendorong perubahan dalam tingkah laku pengguna. Kajian mendapati 65% responden membawa beg membeli-belah sendiri, manakala 25% responden memilih untuk membeli beg plastik; 413 responden daripada jumlah ini, mengakui bahawa mereka terlupa, sementara itu, 181 responden menyatakan beg plastik merupakan pembawa pelbagai barangan yang terbaik, terutamanya barangan runcit dan hasilan segar.

Data yang dikumpul menunjukkan perbezaan pendapat terhadap polisi negeri di antara penduduk Pulau Pinang. Penemuan lain  kajian tersebut termasuk:

  • 85% responden wanita yang menggunakan beg sendiri berbanding 49.4% responden lelaki.
  • Terdapat 98.4% responden dari kategori pesara yang membawa beg sendiri mengikut kerjaya responden.
  • Majoriti responden yang tiada pendapatan atau tidak bekerja (98.7%) membawa beg sendiri berbanding kumpulan pendapatan lain.
  • Keprihatinan dan kesedaran terhadap alam sekitar bukan merupakan faktor utama sesetengah responden menggunakan beg membeli belah sendiri. Responden yang menunjukkan tahap keprihatinan terhadap alam sekitar yang lebih rendah, sebaliknya membawa beg membeli-belah sendiri, mereka terdiri daripada kategori yang berikut, bekerja sendiri, suri rumah tangga, pelajar, tidak bekerja, pesara, responden yang berpendapatan tinggi (RM7,501 ke atas) serta individu yang tiada pendapatan.

Beg plastik adalah satu ciptaan yang mengagumkan, namun penggunaan yang berleluasa ini mengakibatkan kos tinggi yang terpaksa dibayar apabila kita membayar berjuta-juta untuk membersihkan jalan-jalan, sungai-sungai dan lautan kita. Oleh itu, Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang melancarkan kempen “Tiada Beg Plastik Percuma” pada Julai 2009. Kerajaan negeri telah melaksanakan polisi ini selama beberapa tahun ke atas golongan peniaga. Garis Panduan Penguatkuasaan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik Percuma telah disediakan pada tahun 2017. “Tiada Beg Plastik Percuma” adalah sebahagian daripada perubahan budaya dan peralihan paradigm; Pulau Pinang akan menjadi sebuah negeri yang lebih “Bersih, Hijau, Selamat dan Ceria”, dengan tindakan penguatkuasaan dan polisi yang ketat serta masyarakat yang bersikap prihatin terhadap bandar yang kita diami.

Hasil kajian ini berfungsi sebagai panduan dan rujukan untuk memantau perkembangan dasar. Untuk maklumat lanjut mengenai laporan ini,  sila layari www.pgc.com.my/plasticbagsurvey.

Data Hijau Pulau Pinang (Penang in Numbers)

Di samping itu, Pulau Pinang adalah negeri pertama yang menyusun atur satu siri petunjuk alam sekitar yang berdasarkan lapan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs). Kami telah menerbitkan Data Hijau Pulau Pinang (Penang in Numbers) yang merupakan salah satu pendekatan berasaskan bukti (evidence based approach) dalam pembangunan Agenda Hijau Pulau Pinang (PGA) melalui PGC. Data Hijau menjadualkan pelbagai jenis data yang berhubung kait dengan kelestarian dan UNSDGs yang terdapat di Pulau Pinang pada masa ini. SDGs menggariskan 17 matlamat global dengan setiap satu mempunyai senarai sasaran dan petunjuk masing-masing. Ia merupakan panggilan universal untuk mengakhiri kemiskinan, melindungi bumi dan memastikan semua menikmati kemakmuran.

Data Hijau menekankan situasi semasa di Pulau Pinang dengan petunjuk matlamat yang berikut:

  • Matlamat 2: Menamatkan Kebuluran
  • Matlamat 6: Air Bersih dan Sanitasi
  • Matlamat 7: Tenaga yang Murah dan Bersih
  • Matlamat 11: Bandar dan Komuniti Lestari
  • Matlamat 12: Penggunaan dan Corak Pengeluaran Mampan
  • Matlamat 13: Tindakan Iklim
  • Matlamat 14: Kehidupan di bawah Air
  • Matlamat 15: Kehidupan atas Tanah

Kajian ini bertujuan untuk merangka petunjuk peringkat negeri berdasarkan petunjuk SDGs dengan menjadi rujukan kepada semua pihak berkepentingan dan mengukuhkan asas PGA. Data Hijau terdiri daripada 57 petunjuk yang berbeza yang digabungkan dan dikategorikan kepada SDGs masing-masing.

Data dan maklumat disumbangkan oleh jabatan kerajaan negeri yang berkaitan. Pengumpulan data untuk Pulau Pinang akan dijalankan secara berterusan sementara dikemaskini sekali setahun untuk membolehkan orang ramai menjejaki perkembangan Pulau Pinang dari segi faktor data alam sekitar dan juga membantu pihak berkepentingan untuk menentukan tahap kemampanan Pulau Pinang.

Data Hijau boleh dimuat turun dari laman web PGC: www.pgc.com.my/pga/penang-in-numbers-green-data.

Terima kasih.
Phee Boon Poh