Ucapan oleh LIM GUAN ENG di Simposium Pulau Pinang
 

Ucapan Pembukaan oleh Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Penang Green Council pada 15 Januari 2018 semasa Simposium Pulau Pinang Sebagai Negeri Mampan di Auditorium A, KOMTAR:

Selamat pagi dan selamat datang ke Simposium Pulau Pinang Sebagai Negeri Mampan, yang bertajuk “Adakah Pulau Pinang Mampu Mencapai Kemampanan Pada Tahun 2030?”

Pada November tahun lepas, Pulau Pinang dilanda banjir yang disifatkan terburuk dalam sejarah di negeri ini. Bencana sebesar ini disebabkan oleh penurunan hujan lebat yang luar biasa yang mencatatkan rekod setinggi 372mm, angin ribut paling kencang yang dilihat di sejarah Pulau Pinang dengan kelajuan 40 batu sejam (64kmsj), di mana feri juga terhanyut dan tersadai ke daratan, banjir ini juga menyebabkan 7 mangsa banjir yang kehilangan nyawa.

Ribut selama 15 jam telah melumpuhkan negeri Pulau Pinang, mencetuskan banjir besar, menumbangkan pokok, meragut tujuh nyawa dan seramai 12,662 orang mangsa banjir melibatkan 3,068 keluarga telah dipindahkan dan banyak lagi yang terjejas akibat banjir tersebut. Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kerana negeri Pulau Pinang berjaya kembali pulih daripada bencana terburuk tersebut dengan bantuan daripada jabatan-jabatan negeri dan persekutuan, Angkatan Tentera Malaysia, PDRM, BOMBA, NGO, syarikat swasta, rakyat Malaysia dan Pulau Pinang yang bersatu.

Dalam masa hanya 10 hari, Pulau Pinang kembali pulih dan berjaya dibersihkan. Keretapi Bukit Bendera meneruskan kembali perkhidmatan selepas dihentikan perkhidmatan selama 51 hari kerana bencana tersebut mengakibatkan 194 kejadian tanah runtuh dan menghalang laluan keretapi ke puncak bukit. Kerja-kerja pemulihan yang mengambil masa selama 51 hari sahaja merupakan satu kejayaan luar biasa, apabila ramai yang menjangkakan bahawa kerja-kerja pemulihan tersebut akan mengambil masa selama 12 bulan. Air banjir surut dengan cepat membuktikan kerja saliran yang telah ditambahbaik. Kemampanan kami terbukit apabila kejadian tanah runtuh berlaku hanya di kawasan yang tidak dan belum dibangunkan seperti Bukit Bendera, di mana ia telah mengalami 194 kejadian tanah runtuh walaupun tiada pembangunan di Bukit Bendera. Tiada nyawa terkorban ekoran kejadian tanah runtuh.

Kualiti bakat-bakat di negeri Pulau Pinang nyata di kalangan sektor swasta yang telah mengubah Pulau Pinang menjadi kluster bertaraf global untuk sektor pembuatan, terutamanya industri peralatan elektronik dan perubatan. Hal ini terbukti apabila negeri Pulau Pinang melonjak ke tangga teratas di Malaysia dalam pelaburan pembuatan dalam tempoh 6 bulan pertama bagi tahun 2017.

Namun, kualiti bakat-bakat Pulau Pinang kini mulai diperluaskan kepada sektor perkhidmatan awam. Tadbir urus selama 10 tahun yang menerapkan kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan atau dikenali sebagai CAT: competency, accountability and transparency, mempunyai impak yang diinginkan untuk menjadikan negeri Pulau Pinang lebih bersih, hijau, sihat dan selamat. Tadbir CAT juga telah meningkatkan tahap kesihatan kewangan kita dengan lebihan anggaran tahunan, menggandakan rizab aset dan pengurangan hutang negeri kita dengan rekod sebanyak 90%. Bandar Warisan Dunia UNESCO, iaitu bandar George Town telah dikenali sebagai salah satu bandar warisan yang terbaik di Asia dalam usaha kita untuk memulihara, melindungi dan mempromosikan tapak warisan negeri kita.

Kejayaan-kejayaan ini telah menarik perhatian global sehinggalah mereka memburu Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang kita, iaitu Dato Maimunah bt Mohd Sharif yang bakal menjadi Pengarah Eksekutif baru di organisasi Habitat PBB. Dato Maimunah merupakan warga Asia dan wanita pertama yang mengetuai UN Habitat. Pencapaian ini bukan sahaja kebanggaan negeri Pulau Pinang tetapi juga kebanggaan kepada negara Malaysia.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi keutamaan yang sama kepada kesaksamaan jantina serta memerangi perubahan iklim. Berdasarkan laporan NAHRIM (Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia), suhu global meningkat dari tahun 1901-2012 adalah antara 0.69 - 1.08 darjah celcius; manakala paras laut global meningkat dari tahun 1901-2010 adalah antara 1.7mm - 2.1mm. Banyak negara kepulauan kecil yang terancam dengan peningkatan paras laut ini. Pulau Pinang juga memiliki kebanyakan ciri-ciri negara kepulauan kecil dan turut terdedah kepada cabaran alam sekitar seperti cuaca ekstrem dan banjir kilat.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai visi bagi menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang "Lebih Bersih, Hijau, Selamat, Sihat, dan Ceria". Sejak tahun 2010, kami telah memulakan satu siri inisiatif alam sekitar untuk mempromosikan kecekapan sumber seperti perkhidmatan bas bandar percuma, Tiada Beg Plastik Percuma Setiap Hari, larangan sepenuh penggunaan bekas makanan polistirena, sistem perkongsian basikal dan kami juga sedang dalam proses menggantikan 20,000 pos lampu kepada lampu LED menjelang tahun 2020. Kerajaan negeri bukan sahaja memberi insentif kepada projek-projek yang telah disahkan Indeks Bangunan Hijau (GBI), tetapi juga memimpin dengan menjadi contoh teladan, sebagai contoh; projek perumahan mampu milik di SP Chelliah juga adalah projek yang telah diiktiraf oleh GBI. Sebagai sebahagian daripada kebajikan rakyat Pulau Pinang, kadar air Pulau Pinang kekal sebagai paling murah di negara ini. Walau bagaimanapun, kami juga mengenakan surcaj pemuliharaan air untuk menggalakkan kelakuan penggunaan yang bertanggungjawab.

Dari segi dasar Pengasingan Sisa di Punca, Pulau Pinang telah mencapai kadar kitar semula tertinggi di negara Malaysia iaitu sebanyak 38% berbanding dengan kadar kitar semula nasional iaitu sebanyak 22% dan kami berharap untuk meningkatkan kadar kitar semula kepada 40% menjelang tahun 2020. Semua pemaju mesti mengasingkan sisa pembinaan mereka dalam projek masa depan. Kami juga berharap agar semua pejabat kerajaan akan disahkan sebagai Pejabat Hijau Pulau Pinang menjelang tahun 2020.

Negeri Pulau Pinang adalah negeri pertama yang menentang pembinaan loji tenaga kuasa nuklear di Malaysia dan kami akan terus berbuat demikian. Kami berharap agar Malaysia akan membatalkan rancangannya untuk membina 2 loji tenaga kuasa nuklear. Kami tidak akan membenarkan mana-mana reaktor tenaga kuasa nuklear dibina di Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan juga telah bersetuju dengan keputusan kami. Negeri Pulau Pinang akan kekal sebagai negeri bebas nuklear.

Pihak kerajaan negeri sedang membuat percubaan untuk menetapkan satu lagi contoh untuk menghidupkan semula bangunan-bangunan lama. Tahun ini, Revitalisasi KOMTAR telah mencapai penghargaan yang paling dikenali dan dihormati dalam industri pembinaan Malaysia, iaitu Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2017 yang berprestij yang diadili oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Kami sedang mengkaji pengubahsuaian KOMTAR untuk menjadi bangunan cekap tenaga yang diiktiraf oleh GBI, di mana kami telah memulakan projek perintis KOMTAR Retrofit pada bulan Disember 2017.

Pada tahun 2013, kami telah melengkapkan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang untuk meningkatkan penyambungan melalui pengangkutan karbon rendah; kami juga telah merancang untuk melengkapkan laluan basikal sepanjang 350km (bahagian pulau - 179km, bahagian seberang perai - 171km). Di bawah Pelan Induk Laluan Basikal Pulau Pinang yang berkos kira-kira RM27.27 juta, sebahagiannya akan dibiayai oleh sektor swasta. Kami juga sedang merangka Pelan Taman Awam Pulau Pinang, Pelan Induk Pengurusan Sisa Pepejal dan Pelan Induk Mitigasi Banjir. Dari tahun 2008 sehingga tahun 2017, 77% atau RM2.3 bilion dana pembangunan telah dibelanjakan di Seberang Perai, iaitu tanah besar Pulau Pinang yang mempunyai lebih banyak kawasan luar bandar, untuk memastikan pembangunan yang seimbang.

Kami tidak pernah membenarkan pembalakan di hutan simpan kekal dan kami berasa megah kerana Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri di Malaysia di mana tidak seinci persegi pun disentuh. Dan kami telah menanam lebih daripada 271,000 pokok baru di Pulau Pinang sejak tahun 2008. Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah telah berhenti menghidangkan sup sirip ikan yu bagi melindungi biodiversiti semulajadi.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang merangka strategi untuk memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs), untuk menyesuaikan diri dan membina masyarakat yang berdaya tahan di Pulau Pinang menjelang tahun 2030.

Agenda ini merupakan projek perancangan dasar selama dua tahun, yang diterajui oleh ahli lembaga pengarah Penang Green Council iaitu Dato' Dr. Leong Yueh Kwong dan Dato' Renji Sathiah. Simposium hari ini merupakan sebahagian daripada proses konsultasi bersama pemegang taruh; kami telah mengadakan konsultasi bersama peringkat pertama pada tahun 2017 melalui bengkel, perbincangan kumpulan fokus, pameran bergerak dan tinjauan awam.

Simposium bersesi dua hari ini bersama dengan pihak berkepentingan Pulau Pinang ini bertujuan untuk menjana input dan membincangkan strategi dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri hijau dan mampan menjelang tahun 2030.

Pulau Pinang berazam untuk menjadi sebuah bandar antarabangsa pintar, oleh itu kita mesti memastikan visi, sasaran dan matlamat kita adalah selari dengan piawaian antarabangsa. Kami berharap agar Agenda Hijau Pulau Pinang ini berfungsi sebagai garis panduan dan menyediakan halatuju mengenai pelan tindakan untuk masa depan Pulau Pinang dari segi pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Terima kasih semua kerana hadir hari ini untuk bersama-sama merealisasikan wawasan Pulau Pinang dalam menjadi negeri hijau pertama di Malaysia. Mari bersama-sama menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang lebih bersih, hijau, selamat, sihat dan ceria.Terima kasih!

 

Lim Guan Eng