Rakyat Prihatin Bersuara Semasa Perbincangan Kumpulan Berfokus bagi Pembangunan Agenda Hijau Negeri Pulau Pinang
 

Kenyataan Akhbar
pada 14 Ogos 2017

Rakyat Prihatin Bersuara Semasa Perbincangan Kumpulan Berfokus bagi Pembangunan Agenda Hijau Negeri Pulau Pinang

Lima sesi perbincangan Kumpulan Berfokus bersama pemegang taruh (stakeholders) di Pulau Pinang, telah berjaya diadakan di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM). Penang Green Council (PGC) bertanggungjawab untuk membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam merangka Agenda Hijau Negeri Pulau Pinang (PGA). Agenda Hijau Negeri Pulau Pinang adalah bertujuan untuk merangka strategi bagi mewujudkan komuniti Pulau Pinang yang berdaya tahan dalam menghadapi cabaran-cabaran alam sekitar pada masa hadapan. Pembangunan agenda ini adalah usaha untuk merealisasikan wawasan kerajaan negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang lestari dan hijau pada tahun 2030.

Bagi membangunkan Agenda Hijau Negeri Pulau Pinang, pendekatan “bottom-up” atau “participatory” digunakan. Pembangunan agenda ini dijangka akan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan. Kerajaan Negeri memerlukan input daripada semua pemegang taruh (stakeholders) di Pulau Pinang untuk melibatkan diri sebelum pihak Kerajaan Negeri melancarkan Agenda Hijau Negeri Pulau Pinang. Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD) merupakan antara satu elemen dalam pendekatan “bottom-up” dan “participatory. Objektif bagi Perbincangan Kumpulan Berfokus ini adalah untuk mengenal pasti masalah alam sekitar yang berlaku di Pulau Pinang dan juga untuk menentukan skop-skop yang berkait rapat dengan Agenda Hijau Negeri Pulau Pinang. Pemegang taruh yang telah melibatkan diri dalam sesi Perbincangan Kumpulan Berfokus termasuk wakil daripada Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), Golongan Belia, Agensi Kerajaan,  Sektor Swasta dan Golongan Profesional.

PGA Jawatankuasa Penasihat dipengerusikan oleh Ahli Lembaga PGC Dato Leong Yueh Kwong. Penang Green Council telah melantik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia bagi mengendalikan Stakeholder Consultation dalam masa tempoh satu tahun. Sesi Perbincangan Kumpulan Berfokus  dimulakan dengan pengisian borang persetujuan oleh  penglibatan pemegang taruh. Hal ini bagi mendapatkan persetujuan bahawa kehadiran mereka adalah dengan  sukarela dan segala perbincangan akan direkodkan.  Pemegang taruh yang hadir juga perlu mengisi borang demografi bagi tujuan rekod perbincangan. Perbincangan diteruskan dengan sesi kaji selidik dalam talian (online) dan lisan untuk mendapatkan pendapat pemegang taruh yang hadir tentang isu-isu alam sekitar di Pulau Pinang. Perbincangan tamat dengan mendapatkan hasil pemetaan terhadap isu-isu alam sekitar di peta Pulau Pinang.

Bagi pemegang taruh yang tidak dapat menghadirkan diri ke Perbincangan Kumpulan Berfokus ini, pihak Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia akan menjemput mereka untuk melibatkan diri dalam perbincangan mini, temubual, sesi dialog atau berkongsi pendapat di talian (online). Hal ini penting bagi memastikan semua pihak yang prihatin dan pemegang taruh di Pulau Pinang mempunyai peluang untuk bersuara dalam membangunkan Agenda Hijau Negeri Pulau Pinang untuk semua.

Projek ini dibiayai dengan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan diberi sokongan penuh oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang dan Penang Institute. Bagi pihak yang berminat melibatkan diri dalam konsultasi pemegang taruh (stakeholder consultation) diminta menghubungi Pegawai Penyelidik, Siti Sarah Jamil (emel:  This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.  )

 

THING SIEW SHUEN
PENGURUS BESAR