Opening Speech (bm) by LIM GUAN ENG on PENANG GREEN AGENDA WORKSHOP
 

 

 

Ucapan perasmian oleh Lim Guan Eng, Ketua Menteri merangkap Pengerusi Penang Green Council, pada Bengkel Agenda Hijau Pulau Pinang di Penang Institute pada 24 Mac 2017:

Selamat pagi kepada semua.

Pertama sekali, ini merupakan satu penghormatan besar bagi saya untuk merasmikan projek perancangan polisi dua tahun- Agenda Hijau Pulau Pinang. Bengkel hari ini adalah aktiviti rundingan pertama bagi Agenda Hijau Pulau Pinang, yang melibatkan sektor awam dan NGO utama yang terdiri daripada pemimpin alam sekitar ke atas kemampanan berterusan Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai visi untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang 'Bersih, Hijau, Selamat, Sihat dan Ceria' yang dilancarkan pada tahun 2010. Semenjak itu, kami telah mula dengan inisiatif siri alam sekitar untuk meningkatkan kecekapan sumber seperti khidmat bas CAT percuma, tiada beg plastik percuma setiap hari, larangan bekas makanan polistirena, memberi insentif untuk bangunan hijau, menyediakan laluan basikal, melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca.

Kami telah mencapai kadar kitar semula yang paling tinggi di negara ini dengan jumlah 32% berbanding dengan purata negara sebanyak 10.5% dan berharap untuk meningkatkan kadar kitar semula semasa dari 32% kepada 40% pada tahun 2020. Kami adalah negeri pertama yang menentang loji tenaga kuasa nuklear di Malaysia dan akan terus berbuat demikian. Kami tidak pernah membenarkan pembalakan hutan simpan kekal, tidak seinci persegi pun disentuh. Tambahan pula, kami telah menanam lebih daripada 271,000 pokok di Pulau Pinang sejak tahun 2008.

Kami telah membina laluan basikal dalam usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri basikal. Kami juga telah menubuhkan stesen Link Bike di mana sesiapa sahaja boleh menyewa basikal dari mana-mana salah satu daripada 25 stesen dan mengembalikannya di stesen lain. Basikal ini berfungsi sebagai kenderaan transit jarak pendek untuk mengurangkan/ menggantikan penggunaan kenderaan bermotor, mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Orang sering mengatakan bahawa kemampanan alam sekitar didorong oleh permintaan masyarakat maju. Kita tidak mahu melihat kelestarian alam sekitar sebagai kemewahan kekayaan. Sebaliknya, kita ingin melihat kelestarian alam sekitar sebagai pemacu peluang ekonomi. Siapakah yang akan menerima manfaat paling banyak daripada Pulau Pinang Bersih, Hijau, Selamat, Sihat dan Ceria? Semestinya rakyat, kamu dan saya dan kita semua.

Perubahan iklim dianggap cabaran global yang paling serius. Data terkini yang disediakan oleh Jabatan Meteorologi menunjukkan bahawa suhu minimum di Pulau Pinang telah meningkat sebanyak 1.5 darjah Celcius semenjak 51 tahun yang lalu (1966-2015). Beberapa bulan lalu, Penang Green Council dengan kerjasama USM dan Water Watch Penang telah menjalankan “Kaji Selidik Umum Mengenai Perubahan Iklim di Pulau Pinang pada 2016'.

Daripada 1373 responden, keputusan menunjukkan bahawa majoriti (73.2%) merasakan bahawa iklim semenjak sepuluh tahun  lalu telah berubah berbanding dengan iklim masa kini. Lebih daripada 40 peratus responden memberi nilai alam sekitar (45.7%), jenayah (43.8%), dan isu-isu ekonomi (42.1%) sebagai amat penting.

Dari segi persepsi umum dan kefahaman orang ramai mengenai perubahan iklim di Pulau Pinang, keputusan kajian menunjukkan bahawa penduduk Pulau Pinang berpendapat manusia lebih bertanggungjawab untuk perubahan iklim daripada akibat semula jadi.

Keputusan ini menunjukkan bahawa pengetahuan responden terhadap Jejak Karbon dan Gas Rumah Hijau adalah sangat terhad. Kami berharap Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang akan menjadi satu pelan pengangkutan karbon rendah yang juga akan mengurangkan pelepasan karbon dan pencemaran udara di negeri ini serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini.

Tidak lama lagi, Syarikat Awam Berhad Malaysia dengan lebih RM2 bilion modal pasaran perlu menunjukkan Penyata Kelestarian dalam laporan tahunan yang dikeluarkan bagi tahun kewangan yang berakhir pada atau selepas 31 Disember 2016. Ini bermakna pemain ekonomi tidak boleh lagi mengabaikan tanggungjawab mereka ke arah kelestarian alam sekitar dan sosial.

Ini adalah masa yang sesuai untuk kita berusaha ke arah Agenda Hijau Pulau Pinang yang menggabungkan perlindungan alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi untuk mencapai pembangunan mampan. Pulau Pinang harus berbangga kerana mempunyai rakyat yang berdedikasi tinggi untuk menjamin alam sekitar demi masa depan anak-anak kita!

Marilah kita menjadikan Pulau Pinang negeri hijau pertama di Malaysia. Jadikan dunia kita  hijau agar anak-anak kita akan ingat kita untuk kebaikan yang telah kita lakukan. Saya memohon kerjasama dan komitmen anda untuk kekal sehingga akhir bengkel. Dengan sukacitanya, Projek Agenda Hijau Pulau Pinang akan kini bermula secara rasmi!

 

Terima kasih.