Pejabat Penang Green Council: Pejabat Pertama di Malaysia yang Memperolehi Pengiktirafan Emas ‘GBI (NRNC) Interior Tool’
 

   

UCAPAN ALUAN OLEH YAB TUAN LIM GUAN ENG, KETUA MENTERI PULAU PINANG DAN PENGERUSI PENANG GREEN COUNCIL, PADA 11 JUN 2014 DI KOMTAR:

Yang Berhormat Dato' Haji Mohd Rashid Bin Hasnon,
Timb. Ketua Menteri 1

Yang Berhormat. Prof. Dr. P. Ramasamy A/L Palanisam,
Timb. Ketua Menteri 2 

Yang Berhormat Dato' Haji Farizan Bin Darus
Setiausaha Kerajaan Negeri

Yang Berhormat Chow Kon Yeow,
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas Dan Tebatan Banjir Merangkap Naib Pengerusi Penang Green Council

Yang Berhormat Phee Boon Poh,
Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang Dan Alam Sekitar Merangkap Naib Pengerusi Penang Green Council

Cik Thing Siew Shuen,
Pengurus Besar Penang Green Council

Pejabat Penang Green Council: Pejabat Pertama di Malaysia yang Memperolehi Pengiktirafan Emas ‘GBI (NRNC) Interior Tool

Salam Sejahtera dan Salam Hormat,

Pertama sekali, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada para hadirin kerana sudi menghadiri Majlis Perasmian ini dan bersama kita saksikan transformasi pejabat Penang Green Council (PGC) – iaitu penubuhan pejabat perintis pertama di Malaysia yang dirancang dan direkabentuk berdasarkan kriteria-kriteria Green Building Index (GBI) - Interior Tool.

Majlis hari ini diadakan bersempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Tahun 2014 yang baru berlalu pada 5 Jun, bertema “Tinggikan Suaramu, Bukan Aras Laut’’ (Raise your voice, not the sea level rise).  Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini berfokus kepada risiko dan cabaran di Negara-negara Pulau Kecil  Membangun terutamanya peningkatan aras laut dalam konteks perubahan iklim.  Pulau Pinang mempunyai kebanyakan ciri-ciri pulau kecil. Pulau Pinang sebagai pulau yang bersaiz kecil terdedah kepada perubahan cuaca serta bencana alam dan persekitaran.

Sidang Hadirin Yang Dihormati,

Tanda-tanda perubahan iklim kini semakin ketara, contohnya musim kemarau yang berlanjutan pada awal tahun ini (Feb - April) dan kekerapan hujan ribut yang meningkat seperti kes banjir kilat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada awal bulan April. Fenomena cuaca ekstrem dan tidak menentu ini akan melanda semua lapisan masyarakat. Bencana persekitaran seperti ini telah membawa kerugian dari segi sosio-ekonomi Negeri.

Salah satu punca berlakunya pemanasan global dan perubahan iklim adalah pelepasan gas rumah hijau seperti karbon dioksida dan gas metana yang meningkat secara mendadak. Kini, kepekatan karbon dioksida di atmosfera telah meningkat ke 400 bahagian per juta berbanding kepada 200 - 300 bahagian per juta pada zaman dahulu. Yang lebih membimbangkan adalah jumlah ini masih meningkat!

Tuan – tuan dan Puan – puan,

Untuk mengurangkan impak pembangunan ke atas alam sekitar, Pulau Pinang telah berhasrat untuk menjadi negeri hijau pertama di Malaysia dengan inisiatif-inisiatif seperti kempen “Tiada Beg Plastik Percuma”, larangan Keranda Putih atau bekas makanan polisterin dan Hari Tanpa Kereta di Lebuh Pantai. Pulau Pinang telah mencapai kadar kitar semula yang paling tinggi di Malaysia iaitu secara puratanya 30% (September 2013). Usaha-usaha ini dijalankan berasaskan matlamat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, menurunkan kesan tapak kaki karbon dan seterusnya menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang sesuai diduduki dalam konteks kelestarian.

Seiring dengan visi negeri, PGC kini memperkenalkan pembangunan secara mampan di persekitaran pejabat PGC. Kita sekarang berada di Projek Perintis Pertama di Malaysia yang direkabina berdasarkan GBI Interior Tool, dan telah mendapat pengiktirafan emas daripada agensi pengiktirafan yang bertauliah. Tahniah kepada PGC atas pencapaian ini!

Hadirin sekalian,

Pejabat perintis ini adalah pejabat pertama yang menggunakan bahan mentah mesra alam. Sebagai contoh, lantai simen dan cat dinding yang mengandungi VOC yang rendah (low volatile organic compound). Selain itu, perabot yang diguna dalam pejabat ini adalah perabot terpakai dan ruang kerja yang disediakan adalah diubahsuai daripada kayu ‘pallet’ yang dikitar semula.

Konsep pembinaan pejabat ini turut dirancang untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik. Contohnya: pemasangan peralatan elektrik yang jimat tenaga (energy saving) dan pengunaan sumber cahaya semula jadi di dalam pejabat. Pejabat ini turut mengamalkan penggunaan kertas kitar semula dan pemasangan kelengkapan air yang efisien.

Sidang Hadirin Yang Dihormati

Pada tahun 2012, saya telah melancarkan projek Pejabat Hijau Pulau Pinang. Tahun ini, PGC telah mencecah satu lagi pencapaian yang memberangsangkan melalui Projek Perintis Pertama Di Malaysia Yang Berjaya Memperolehi Pengiktirafan Emas ‘GBI Interior Tool'. Saya berharap agar pejabat PGC ini boleh menjadi contoh kepada lebih banyak pejabat di seluruh Pulau Pinang dan Malaysia demi pemuliharaan alam sekitar. Umpamanya, "Kita tidak mewarisi bumi daripada nenek moyang, tetapi meminjam daripada kanak- kanak kita". Saya menyeru semua pihak supaya bekerjasama demi generasi akan datang. Sama ada inisiatif kecil dari rumah tangga ataupun tempat kerja, kita mampu memberi impak yang siknifikan kepada alam sekitar.

Tuan–tuan dan Puan–puan,

Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan individu dan organisasi atas peningkatan kualiti alam sekitar Pulau Pinang. Pada separuh kedua tahun ini, PGC akan menganjurkan Penang International Green Carnival pada bulan September dan Green Pinang 3A Gala pada bulan November. Kita mengalu-alukan penyumbang-penyumbang penyelesaian perubahan iklim dari segi idea ataupun teknologi. Sejajar dengan Malam Gala 3A yang dianjurkan oleh PGC, Kerajaan Negeri akan menyampaikan Sijil Penghargaan kepada semua penyumbang hijau. Tuan-tuan dan puan-puan digalakkan mencalon mereka yang telah menyumbang ke arah perubahan hijau melalui laman web PGC.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya ingin merakamkan penghargaan kepada En. Baylon Tham, fasilitator GBI pejabat ini. Beliau telah mencetuskan idea untuk pejabat baru PGC, serta menjalinkan jaringan komunikasi di antara PGC dan MGBC (Malaysian Green Building Confederation). Pihak PGC juga ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat seperti Area Designs, Perunding P.L.A dan semua pihak yang telah menyokong projek pejabat GBI ini.

Sekian Terima Kasih!