Ucapan Pembukaan oleh YAB SDR Lim Guan Eng, 5 JUN 2013
 

Ucapan Pembukaan oleh YAB SDR Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Penang Green Council, pada 5 Jun 2013 di KOMTAR:

YB Saudara Haji Mohd Rashid Bin Hasnon, Timbalan Ketua Menteri I
YB Saudara Chow Kon Yeow, EXCO Kerajaan Tempatan, Urusan Lalulintas dan Tebatan Banjir merangkap Naib Pengerusi PGC
YB Saudara Phee Boon Poh, EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap Naib Pengerusi PGC
Puan Maimunah Binti Mohd. Sharif, Yang Dipertua MPSP,
Dato-Dato, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Salam Sejahtera,

Saya berasa bangga kerana pada Hari Alam Sekitar Sedunia yang mulia ini,  kita semua dapat berhimpun untuk semangat bagi menghijaukan pejabat masing-masing demi satu persekitaran Tempat Kerja yang Lebih Bersih, Hijau, Sihat & Selamat di Pulau Pinang. Tahniah atas kejayaan 22 pejabat yang  terdiri  daripada 19 organisasi swasta; 3 agensi kerajaan yang disahkan sebagai Pejabat Hijau Pulau Pinang hari ini.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa yang dipengerusi oleh Puan Pat Chung atas usaha gigih dan komitmen yang telah dicurahkan kepada usaha untuk melaksanakan Projek Pejabat Hijau Pulau Pinang. Jawatankuasa projek ini terdiri daripada sektor kerajaan dan swasta, termasuklah UPEN, MPPP, MPSP, Jabatan Perhutanan, PBA, Jabatan Alam Sekitar (DOE), TNB, FREPENCA/ Osram, The Association of Banks in Malaysia, Malaysian Association of Hotels (Penang Chapter) dan Federation of Malaysian Manufacturers (FMM). Jawatankuasa ini telah berkembang kriteria-kriteria bagi skim pensijilan ini, mereka juga mengusahakan pelan dan pelaksanaan Projek Pejabat Hijau Pulau Pinang.

Pulau Pinang kini dalam proses menjadi negeri hijau pertama di Malaysia dengan inisiatif-inisiatif hijau, seperti menjadi satu-satunya negeri yang mengamalkan kempen “Tiada Beg Plastik Percuma” , larangan Keranda Putih atau bekas makanan polisterin. Kita juga mencapai kadar kitar semula yang paling tinggi di Malaysia iaitu 24%. Kami berhasrat untuk mencapai sasaran kitar semula sebanyak 40% menjelang tahun 2018. Pulau Pinang juga ingin menjadi negeri basikal pertama di Malaysia dengan laluan basikal 200 kilometer.

Kejayaan Kerajaan Negeri mentransformasikan Pulau Pinang kepada sebuah negeri yang bersih, hijau, selamat dan sihat sememangnya diakui, apabila usaha-usaha ini membolehkan George Town dipilih sebagai most liveable city atau bandar paling sesuai didiami di Malaysia pada 2011 dan pengiktirafan ini diulangi lagi pada 2012 oleh pakar antarabangsa ECA International. Baru-baru ini, Pulau Pinang juga telah terpilih sebagai lokasi ke-empat paling baik di dunia untuk persaraan. Pengiktirafan ini adalah bukti bahawa Pulau Pinang sudah menjadi Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

Dalam mewujudkan persekitaran rendah karbon yang mampan, Kerajaan Negeri telah menawarkan perkhidmatan bas percuma CAT dalam kawasan warisan George Town dengan kos RM50,000.00 sebulan. Selain daripada itu, kami juga menyediakan perkhidmatan Bridge Express Shuttle Transit (BEST) yang merupakan perkhidmatan shuttle secara percuma ulang-alik ke dan dari Seberang Perai, Kawasan Perindustrian Bebas Bayan Lepas dan Balik Pulau. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM184,800 sebulan dan ini melibatkan sebanyak 20 buah bas Rapid Penang.

Selaras dengan usaha Kerajaan Negeri menggalakkan dan mempromosikan konsep Pembelian Hijau atau Green Purchasing, Kerajaan Negeri sedang dalam proses penelitian untuk memperluaskan penggunaan peralatan pejabat berasaskan konsep hijau di semua jabatan Kerajaan Negeri. Dengan kata lain, setiap pembelian mesti memberikan keutamaan kepada isi kandungan hijau. Contohnya mencetak kad nama, mesti mempertimbangkan untuk menggunakan kertas kitar semula. Usaha ini diharapkan akan dapat meningkatkan permintaan pasaran produk hijau dan sekaligus menggalakkan lebih ramai pengusaha produk hijau di Pulau Pinang.

Penang Green Council telah ditubuhkan sebagai agensi kerajaan yang bertujuan untuk mempromosi amalan dan mesej hijau melalui pelbagai program dan aktiviti. Selain daripada Majlis hari ini, anda juga dijemput untuk menyertai World Environment Day Celebration yang berbentuk karnival akan diadakan di Lebuh Pantai pada 16 Jun 2013.

Akhirnya, saya ingin menyeru supaya lebih banyak pejabat kerajaan dan swasta dalam inisiatif dan amalan hijau; secara langsungnya, kita akan menyaksikan benih ekonomi hijau yang dapat meningkatkan kesejahteraan manusia dan ekuiti sosial, sementara mengurangkan risiko alam sekitar dan kelangkaan ekologis dengan ketara.

Sekian Terima Kasih!