Majlis Penyampaian Anugerah Green Pinang 2017 di Eastin Hotel pada 22 November 2017
 

Ucapan Perasmian oleh Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Penang Green Council semasa Majlis Penyampaian Anugerah Green Pinang 2017 di Eastin Hotel pada 22 November 2017:

Tuan-tuan dan puan-puan, selamat petang dan selamat datang ke Majlis Penyampaian Anugerah Green Pinang 2017.

Ucapan perasmian oleh Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Penang Green Council memberi ucapan aluan semasa Majlis Penyampaian Anugerah Green Pinang 2017.

Pulau Pinang dilanda banjir yang disifatkan terburuk dalam sejarah di negeri ini pada 4-5 November 2017. Adalah dikesali bahawa kami tidak bersiap sedia langsung untuk menghadapi bencana sebesar ini yang disebabkan oleh hujan lebat yang mencatatkan rekod setinggi 372mm, angin ribut paling kencang yang dilihat di sejarah Pulau Pinang dengan kelajuan 40 batu sejam (64kmsj) dan banyak kawasan di Seberang Perai Utara menghadapi tempias banjir di Kedah apabila air banjir daripada Kedah melimpah keluar daripada sungai-sungai di sini.

Ribut selama 15 jam pada 4 November telah melumpuhkan negeri pulau ini dan mencetuskan banjir besar dan menyebabkan pokok tumbang, meragut tujuh nyawa, seramai 12,662 orang mangsa banjir melibatkan 3,068 keluarga telah dipindahkan dan banyak lagi yang terjejas akibat banjir tersebut. Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jabatan-jabatan dan agensi-agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, Angkatan Tentera Malaysia, NGO (Badan Bukan Kerajaan), agensi-agensi swasta dan semua rakyat Pulau Pinang yang membantu menyelamatkan Pulau Pinang pada 4 dan 5 November. Kakitangan PGC turut membantu dengan kerja pembersihan pasca-bencana.

Apa yang penting sekarang adalah kerja-kerja pemulihan pasca bencana banjir untuk membangkitkan Pulau Pinang. Kami telah mengumumkan program pasca bencana “Pulau Pinang Bangkit” untuk mengurangkan beban mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang. Di bawah program ini, setiap isi rumah yang ditimpa banjir akan diberikan wang ehsan sebanyak RM700 secara one-off. Tambahan, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) telah bersetuju untuk memberikan diskaun air sebanyak 50 peratus kepada pengguna domestic untuk tempoh bayaran satu pusingan (cycle) sepanjang dua bulan, dan diskaun air sebanyak 25 peratus bagi pengguna komersil untuk tempoh bayaran satu pusingan (cycle) sepanjang satu bulan. Dokumen-dokumen Kerajaan Negeri seperti geran tanah yang hilang atau rosak akibat banjir akan digantikan secara percuma. Program “Pulau Pinang Bangkit” ini akan membantu sekurang-kurangnya 100,000 isi keluarga dan dianggarkan akan menelan belanja Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekurang-kurangnya RM50 juta.

Sebanyak 10,000 sukarelawan yang menyertai program Pulau Pinang Bangkit pada 11 dan 12 November lepas untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Kami telah mencapai pencapaian yang tidak dapat dibayangkan dengan membangkit dan membersihkan 100 peratus kawasan di dalam negeri  dalam masa 10 hari dan hampir 10,000 tan sampah sarap telah dikumpul dan dibersihkan hasil usaha sama sukarelawan. Kami menggalakkan mereka yang tidak terjejas oleh banjir untuk terus membantu mereka yang terjejas seboleh mungkin. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan Pulau Pinang yang telah menonjolkan makna sebenar "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing" bagi memulihkan Pulau Pinang.

Walaupun kami telah berjaya melaksanakan pengurusan krisis, terdapat banyak lagi langkah pencegahan yang perlu dilakukan. Cara yang lebih baik untuk kerajaan negeri adalah mencuba segala usaha untuk memastikan rakyat Pulau Pinang mendapat makluman tepat dan bersedia untuk sebarang keadaan cuaca yang berpotensi buruk. Untuk tujuan ini, kerajaan negeri akan menjalankan kajian mengenai bagaimana data daripada perkhidmatan meteorologi dari negara-negara lain di rantau ini disusun dan digunakan untuk memberi amaran. Ini akan melibatkan jabatan meteorologi negara asing di mana negara-negara tersebut telah menyatakan kesanggupan mereka untuk membantu termasuk China, Britain dan Jepun yang merupakan negara-negara yang telah biasa dengan bencana alam.

Majlis Penyampaian Anugerah Green Pinang pada malam ini terus memberikan pengiktirafan kepada mereka yang telah melakukan perubahan positif dalam membantu Pulau Pinang ke arah kemampanan sama ada melalui amalan baik, menggalakkan kesedaran pendidikan dan memperkenalkan penyelesaian yang berdaya maju dari segi ekonomi.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemenang-pemenang Anugerah Sekolah Hijau Pulau Pinang, Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang, Projek STEP by Step dan 48 buah pejabat kerajaan dan swasta yang diperakui sebagai Pejabat Hijau Pulau Pinang tahun ini. Kami berharap semua pejabat di bawah kerajaan negeri dan kerajaan tempatan akan mendapatkan pensijilan Pejabat Hijau pada akhir tahun 2018.

Pada malam ini, kami juga akan menyampaikan Anugerah Kemampanan Alam Sekitar Pulau Pinang dan Anugerah Pemuliharaan Alam Sekitar Pulau Pinang. Kedua-dua anugerah ini memberi penghormatan kepada organisasi dan individu yang secara berterusan memberikan komitmen, dedikasi dan kepimpinan mereka untuk menambah baik dan memulihara alam sekitar. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penasihat projek dan barisan panel hakim.

Gambar berkumpulan tetamu kehormat bersama pejabat kerajaan dan swasta yang diperakui sebagai Pejabat Hijau Pulau Pinang.

 

Gambar berkumpulan tetamu kehormat bersama pemenang-pemenang Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang.

Kami melihat fenomena cuaca yang tidak menentu di seluruh dunia. Magnitud banjir di Pulau Pinang yang tidak pernah didengari sebelum ini. Berikutan ancaman perubahan iklim global, mengatasi krisis alam sekitar dan membina kemampanan Pulau Pinang merupakan tanggungjawab semua. Penang Green Council (PGC) telah dipertanggungjawab untuk membangunkan Agenda Hijau Pulau Pinang (PGA). Pembangunan PGA dijangka akan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan. Agenda ini bertujuan untuk merangka strategi dengan menggabungkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs) dalam menangani cabaran alam sekitar Pulau Pinang pada masa  depan serta mewujudkan komuniti Pulau Pinang yang berdaya tahan menjelang tahun 2030.

Kini, kami sedang menjalani Kaji Selidik Awam Agenda Hijau Negeri Pulau Pinang; ini merupakan proses penting PGA, kami mengambil berat tentang pendapat anda dalam merangkakan agenda ini untuk masa depan. Kerajaan negeri telah mempertanggungjawabkan PGC untuk mengkaji bagaimana memanfaatkan data dari jabatan meteorologi negera-negara asing supaya kita boleh mengeluarkan amaran cuaca terlebih dahulu.

Akhir sekali, kami ingin merakamkan penghargaan kepada para rakan kerjasama, penganjur dan penaja, iaitu, MBPP, MPSP, Mah Sing Group, Easten & Oriental Berhad, Continental Automotive Components Malaysia Sdn Bhd, PLB Eco Solutions Sdn Bhd, Fraser & Neave Holdings Bhd, Amphenol TCS (Malaysia) Sdn Bhd, Koo Bros Production, Penfabric Sdn Bhd, Entopia by Penang Butterfly Farm, The Habitat Penang Hill,  Social Entrepreneurs With Integrity Association (SEIA), Momento D Amor Studio, Khind-Mistral (M) Sdn. Bhd, Yin Photobooth and Green Cap Ventures (Moku-moku).

Terima kasih atas usaha gigih anda untuk merealisasikan visi Pulau Pinang dalam menjadi negeri hijau pertama di Malaysia. Kami berusaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah bandar yang lestari dan sesuai didiami dengan persekitaran yang lebih bersih, hijau, sihat, selamat dan ceria.

Bangkit Pulau Pinang! Bangkit Pulau Pinang!

Terima kasih!

Lim Guan Eng