Majlis Penyampaian Anugerah Green Pinang 2016 di Jen Hotel pada 4 Nov 2016:
 



Ucapan perasmian oleh Lim Guan Eng, Ketua Menteri merangkap Pengerusi Penang Green Council semasa Majlis Penyampaian Anugerah Green Pinang 2016 di Jen Hotel pada 4 Nov. 2016:

Tuan-tuan dan Puan-puan

Selamat petang.
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada para tetamu ke Majlis Penyampaian Anugerah Green Pinang 2016.

Malam ini, kita meraikan mereka yang telah melakukan perbezaan dalam membantu Pulau Pinang ke arah hijau sama ada melalui amalan yang baik, menggalakkan kesedaran pendidikan dan memperkenalkan penyelesaian yang berdaya maju. Sebagai Pengerusi Penang Green Council, saya berasa gembira untuk berjumpa dengan semua pemimpin hijau yang mempunyai keazaman yang bersungguh-sungguh. Semua para hadirin di dalam dewan ini telah melakukan perbezaan dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri hijau melalui amalan gaya hidup yang mesra alam dan memperkasakan warga Pulau Pinang dengan menyemai kesedaran terhadap alam sekitar. Tahniah dan terima kasih kepada semua.

Anugerah dan insentif kami adalah satu penghormatan kepada organisasi dan individu yang menunjukkan komitmen yang ketara dan berkekalan, dedikasi dan kepimpinan untuk memulihara alam sekitar. Kami ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang anugerah dan insentif kami.

Selama bertahun-tahun, lebih ramai peserta tampil ke hadapan dan mengambil bahagian dalam anugerah dan program insentif. Tahun ini, kami telah menerima lebih daripada 330 penyertaan untuk enam anugerah: Anugerah Kemampanan Alam Sekitar Pulau Pinang, Anugerah Pemuliharaan Alam Sekitar Pulau Pinang, Anugerah Sekolah Hijau Pulau Pinang, Anugerah Pensijilan Pejabat Hijau Pulau Pinang, Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang dan Pertandingan Video Hijau Pulau Pinang. Saya ingin merakamkan terima kasih kepada 20 orang hakim yang meluangkan masa mereka dalam penilaian pemenang anugerah.

Terdapat 54 penyertaan untuk pertandingan Video Hijau, mencatatkan penyertaan tertinggi sejak mula diperkenalkan. Tahun ini, Kuala Lumpur Eco Film Festival (KLEFF) menyertai kami sebagai rakan sokongan Pertandingan Video Hijau Pulau Pinang. Video-video yang menang dalam Pertandingan Video Hijau Pulau Pinang 2016 layak untuk mengambil bahagian dalam KLEFF 2017.

Selain itu, 192 sekolah telah bertanding untuk Anugerah Sekolah Hijau Pulau Pinang, 22 pejabat telah disahkan sebagai Pejabat Hijau Pulau Pinang. Kami bermatlamat untuk menjadikan semua pejabat-pejabat utama kerajaan di Pulau Pinang diiktiraf sebagai "Pejabat Hijau Pulau Pinang" menjelang akhir tahun 2018 bagi menunjukkan bahawa kerajaan memimpin melalui teladan.

Seperti yang anda lihat hari ini di atas meja anda, kami menekankan Kempen Diet Rendah Karbon kami, dengan menghidangkan anda makanan vegetarian yang sihat. Kempen ini telah dilancarkan pada tahun 2015, yang bertujuan untuk mengurangkan jejak karbon dan pelepasan gas rumah hijau. Kami memperkenalkan empat perkara utama kepada umum; cintai makanan tempatan anda, hargai makanan, elakkan pembaziran, kekal sihat dan sokong petani-petani tempatan.

Di Pulau Pinang, kami telah mengambil inisiatif untuk menggalakkan kecekapan sumber seperti pelaksanaan "Tiada Beg Plastik Percuma" di semua pasar raya dan gedung jualan. Saya ingin menegaskan bahawa kita tidak mengharamkan beg plastik. Mereka yang mahukan beg plastik masih boleh membelinya untuk 20 sen. Hasil jualan yang dikutip akan didermakan kepada Dana Program Rakan Anti Kemiskinan (RAK) negeri. Setakat ini, kami telah mengumpul RM5,445,889.84 untuk dana tersebut sejak dari tahun 2009 hingga bulan September tahun 2016. Anda boleh menjimat 20 sen dengan membawa beg membeli-belah anda sendiri. Pulau Pinang juga telah mengharamkan sepenuhnya penggunaan bekas styrofoam bagi pembungkusan makanan. Inisiatif ini telah secara beransur-ansur dicontohi oleh negeri- negeri lain.

Sebagai sebuah negeri, kita cuba lakukan perkara-perkara yang boleh dengan sumber-sumber kita yang terhad, saya terkejut apabila mengetahui bahawa Bajet Negara bagi aktiviti-aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan alam sekitar telah dipotong daripada RM105 juta pada 2016 kepada RM76.5 juta pada tahun 2017, pengurangan sebanyak RM28.5 juta atau potongan 27%. Dengan potongan yang begitu besar dalam bajet, bagaimana pegawai-pegawai penguatkuasa akan menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan mereka terhadap pembuangan bahan pencemar secara haram ke dalam sungai oleh kilang-kilang dan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab? Begitu juga, kami kesal bahawa Kerajaan Persekutuan telah memilih untuk tidak meneruskan dan melengkapkan kerja-kerja tebatan banjir sebanyak RM350 juta.

Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada rakan kerjasama, penganjur bersama dan para penaja: MBPP, MPSP, Lee Video Productions Sdn Bhd, Continental Automotive Components Malaysia Sdn Bhd, PLB Eco Solution Sdn Bhd, GS Paper & Packaging Sdn Bhd, Guppy Plastic Industries Sdn Bhd, Matahari Uniform Centre Sdn Bhd, Popular Book Co. (M) Sdn Bhd, Intel Technology (M) Sdn Bhd, Eastern & Oriental Berhad, Suiwah Corporation Berhad, Mah Sing Group, and Photobooth 0808 atas sokongan padu mereka.

Akhir sekali, tahniah kepada semua! Perkara-perkara besar berlaku apabila para pencetus minda berhimpun bersama. Terima kasih kerana berusaha tanpa mengenal erti penat lelah dalam melaksanakan visi Pulau Pinang. Kami berharap anugerah ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk menyampaikan komitmen terbaik untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar antarabangsa dan pintar yang Bersih, Hijau, Selamat, Sihat dan Bahagia.

Terima kasih.
Lim Guan Eng