FOCUS:Earth Hour Night Walk 2014 @ Esplanade, Padang Kota Lama oleh Carolyn Khor
 

  

Earth Hour Night Walk 2014 @ Esplanade, Padang Kota Lama oleh Carolyn Khor

Earth Hour kembali lagi. Seperti tahun-tahun yang lalu, ianya disambut pada hari Sabtu minggu terakhir di bulan berkenaan, justeru pada tahun ini Earth Hour jatuh pada 29 Mac. Dari jam 8.30 malam, untuk sejam, individu-individu dan peniaga-peniaga yang prihatin, akan memadam lampu bagi menunjukkan sokongan terhadap penentangan pemanasan global.

Earth Hour bermula di Sydney, Australia pada tahun 2007 dengan 2.2 juta individu dan lebih daripada 2,000 peniaga menutup lampu yang tidak diperlukan bagi menyatakan pendirian terhadap perubahan iklim. Penganjur, World Wide Fund for Nature (WWF) telah berjaya menjadikan program ini sebagai pergerakan global dengan lebih daripada 7,000 buah bandar yang terlibat.

Kempen Earth Hour ini disasarkan kepada individu-individu, peniaga-peniaga, Kerajaan dan masyarakat. Selain daripada kebimbangan terhadap perubahan iklim yang semakin meningkat, WWF berharap dapat meningkatkan kesedaran tentang kehidupan secara hijau dan gaya hidup yang mampan dengan mengurangkan pembaziran dan penggunaan berlebihan peralatan elektrik.

Sempena dengan Earth Hour 2014, WWF-Malaysia dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan bersama-sama menganjurkan night walk sepanjang 3.5 km di Jalan Padang Kota Lama dari jam 8.30 hingga 9.30 malam. Perjalanan night walk ini akan bermula di Jalan Padang Kota Lama, melalui Lebuh Light, Lebuh Farquhar, Lebuh Leith, Lebuh Chulia dan Lebuh Pantai, sebelum balik semula ke Jalan Padang Kota Lama. Pelbagai aktiviti akan berlangsung dari jam 6.30 petang di tempat permulaan.

Penang Green Council (PGC) menggalakkan sesiapa yang berminat untuk menyertai Kempen Earth Hour ini. Setiap usaha adalah amat bermakna dan kita semua boleh memainkan peranan kita untuk melindungi alam sekitar.

Bayaran masuk bagi Earth Hour Night Walk adalah RM60.00 bagi setiap seorang di mana ianya termasuk t-shirt Earth Hour, pelekat dan e-sijil penyertaan. Sesiapa yang berminat bolehlah mendaftar dan membuat pembayaran secara atas talian (online) di http://pandashop.my/eh2014walk.