Ucapan Perasmian untuk Idola Hijau Pulau Pinang 2019
 

Ucapan Perasmian oleh YB Tuan Phee Boon Poh, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang merangkap Naib Pengerusi Penang Green Council (PGC) pada 13 April 2019 semasa Majlis Perasmian Idola Hijau Pulau Pinang 2019 sempena Perayaan Hari Bumi.

Selamat pagi semua dan selamat datang ke Bukit Bendera!

Penang Green Council sekali lagi telah menganjurkan Idola Hijau Pulau Pinang bersempena dengan Hari Bumi yang jatuh pada tanggal 22 April setiap tahun. Pertandingan ini bertujuan untuk mencungkil bakat golongan muda melalui pertandingan deklamasi sajak.

Pertandingan ini akan menjadi satu platfom kepada semua bakal peneraju negara di masa hadapan untuk berkongsi tentang idea-idea hijau dan memberi pandangan mereka terhadap isu alam sekitar. Dua tema tahun ini iaitu “Kecantikan Alam Sekitar” dan “Bahaya Merokok” dipilih selaras dengan hasrat Pulau Pinang untuk menjadi peneraju negeri hijau dan pintar pertama serta menjadi inspirasi kepada negara menjelang 2030. Ia merupakan satu proses yang panjang dan kerajaan negeri memerlukan sokongan sepenuhnya dari anda semua untuk mencapai matlamat ini selaras dengan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030.

Selain menjadi negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan dasar “Setiap Hari Tanpa Beg Plastik Percuma”, Pulau Pinang kini memasuki satu lagi fasa Tanpa Plastik Sekali Guna dengan  melancarkan Kempen ‘Tak Nak Straw’. Inisiatif tanpa penyedut minuman plastik percuma ini adalah selari dengan hasrat Malaysia untuk bebas dari plastik sekali guna menjelang 2030, berpandukan Pelan Hala Tuju Sifar Penggunaan Plastik Pakai Buang oleh MESTECC.

Kita perlu mengambil tindakan segera bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dalam kehidupan seharian kerana Malaysia bukan sahaja menduduki tangga kelapan peringkat antarabangsa dalam salah urus pencemaran sisa plastik, namun  keindahan alam semula jadi juga tidak seperti dahulu. Apa yang lebih menyedihkan adalah Malaysia masih lagi antara pengguna terbesar penyedut minuman plastik dan beg plastik. Jadi marilah kita berganding bahu dan berusaha menyelamatkan bumi yang kian tenat ini untuk masa depan generasi yang akan datang.

Selain dari usaha kearah mewujudkan Pulau Pinang yang Lebih Bersih, Hijau, Sihat, Selamat dan Gembira, gaya hidup yang sihat juga adalah penting kepada semua warga Pulau Pinang. Larangan merokok di semua premis makanan seluruh negara telah mula dilaksanakan pada awal tahun ini, di mana para perokok tidak lagi dibenarkan untuk merokok di dalam lingkungan kurang daripada 10 kaki dari kawasan  larangan merokok. Menurut kajian yang diketuai oleh Profesor Dr. Maizurah Omar dari USM, larangan ini berkesan untuk membantu perokok menghapuskan tabiat merokok apabila mereka melihat semakin ramai orang awam yang tidak merokok di sekeliling mereka. Namun begitu, ia akan mengambil masa tiga tahun untuk melihat sokongan dan kepatuhan orang awam sepenuhnya terhadap larangan ini.

Kita berazam untuk mengucapkan selamat tinggal kepada penggunaan plastik sekali guna dan pencemaran udara untuk kehidupan yang lebih sihat dan mampan. Pada hari ini, kami sangat gembira melihat penglibatan dari semua peserta kerana kami percaya golongan belia mempunyai kuasa untuk mengubah masyarakat kita. Kesedaran alam sekitar yang tinggi  adalah kunci untuk sebuah perubahan. Namun yang demikian, haruslah kita sentiasa beringat untuk tidak bersikap seperti tin kosong yang hanya berbunyi sahaja.

Tanpa melengahkan masa, saya dengan ini merasmikan Idola Hijau Pulau Pinang – Pertandingan Mendeklamasi Sajak dan berharap semua peserta dapat mempelajari sesuatu pada hari ini dengan sebaik mungkin. Selamat Hari Bumi! 

 

Sekian, terima kasih.

Phee Boon Poh